Halloween party ideas 2015

Berikut ini adalah berita malaysia dan informasi terbaru hari ini untuk pemerintah diraja malaysia, selamat membaca, dan jangan lupa berikan komentar dan berikan pendapat anda tentang apa yang anda baca hari ini. selamat beraktifitas

Datuk A Kadir Jasin mendedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah pun mendapat banyak maklumat sulit berhubung syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ia lebih buruk daripada apa yang diketahui sebelum ini.

Wartawan veteran itu berkata, mungkin atas sebab itulah Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy menangguhkan pertemuan bersama PAC sebaliknya bergegas bertemu Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

"Malangnya maklumat itu mungkin lebih buruk daripada yang kita ketahui selama ini. Besar kemungkinan lebih banyak bank dan institusi kewangan tempatan yang terdedah kepada krisis hutang 1MDB.

"Termasuk institusi yang berkaitan eksport dan import. Dikhabarkan juga ada cek bernilai beratus juta dolar bertukar tangan.

"Agaknya kerana sebab itulah Arul tergesa-gesa memberi taklimat kepada Shahrir yang pernah jadi pengerusi PAC. Shahrir adalah antara penyokong kuat (Datuk Seri) Najib (Razak)," kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu menerusi kiriman terbaru di blognya The Scribe A Kadir Jasin hari ini.

Arul dalam menjelaskan pertemuannya bersama Shahrir pada Rabu berkata beliau tidak sempat menghadiri pendengaran PAC yang diadakan sehari sebelum itu kerana masih dalam penerbangan pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, Arul enggan menjelaskan di mana beliau berada ketika ke luar negara, walaupun ahli PAC Tony Pua mendesak supaya beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menjelaskan keberadaan mereka.

"Saya tidak menyembunyikan apa-apa. Ia satu pertemuan yang baik dan beliau seorang yang bijaksana, seorang yang teliti.

"Saya sedia menjawabnya jika ia ditanya dalam sesi PAC nanti," kata Arul kepada The Malaysian Insider.

Mengulas mengenai pelan rasionalisasi 1MDB, Kadir berkata ia merupakan satu pelan yang membolehkan syarikat bermasalah itu untuk terus berhutang.

Katanya, syarikat petroleum dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic) dan unit pelaburannya, Aabar Investments tidak akan menyuntik RM16.4 bilion secara membuta tuli jika tidak mendapat cagaran berharga atau saham yang berbaloi.

"Maklumat tepi jalan kata, IPIC/Aabar mungkin mendapat hingga 49% saham Edra Energy apabila disenaraikan atau dijual melalui pengeluaran persendirian.

"Kita tidaklah mahu berburuk sangka dengan berkata mungkin duit RM16.4 bilion itu sebenarnya sebahagian daripada hutang 1MDB yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata tidak dapat dikesan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan 1MDB akan dipecahkan kepada tiga, iaitu projek Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia dan penjanaan elektrik di bawah Edra Global Energy Sdn Bhd.

Arul hari ini menafikan bayaran AS$1 bilion diterima daripada Ipic merupakan pinjaman atau “bailout”.

Katanya, wang itu adalah urus niaga antara dua syarikat tersebut, dan ia tidak menambahkan hutang 1MDB.

"Merujuk kepada kenyataan Kementerian Kewangan pada 29 Mei, kami dapati dan prihatin dengan kenyataan daripada sesetengah pihak yang mengatakan bayaran AS$1 bilion daripada Ipic Abu Dhabi adalah pinjaman, ataupun akan membawa hutang lagi kepada 1MDB.

"Ia langsung tidak benar. Ini merupakan satu urus niaga, bukan pinjaman, bukan sebarang hutang dan bukan bailout.

"Ia merupakan sebahagian bayaran awal daripada perjanjian luas menilai secara komprehensif aset kewangan pelbagai serta urus niaga liabiliti antara IPIC, Aabar dan 1MDB, dan butir-butir selanjutnya akan diumumkan dalam masa terdekat," kata Arul dalam satu kenyataan.

Wang tersebut akan dibayar menjelang 4 Jun dan digunakan membayar balik AS$975 juta bagi pinjaman bank diketuai Deutsche Bank yang matang akhir bulan September, kata Kementerian Kewangan pada Jumaat.

"Perjanjian tersebut juga termasuk langkah-langkah untuk menilai secara komprehensif aset kewangan pelbagai serta urus niaga liabiliti antara dua pihak tersebut dan butir-butir selanjutnya akan diumumkan dalam masa terdekat," kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Perjanjian ini menampakkan langkah yang penting ke arah mengurangkan hutang keseluruhan 1MDB, dan adalah bahagian yang penting dalam pelan rasionalisasi I yang dibentangkan kepada Kabinet sebelum ini, di mana kami jangka akan dilaksanakan sepenuhnya awal tahun depan."

Pada Jumaat, Husni membentangkan pelan rasionalisasi dana pelaburan tersebut kepada Kabinet. Pada 13 Mei, Business Times Singapura melaporkan 6 bank "cemas" kerana pinjaman AS$1.103 bilion tersebut dijamin oleh Brazen Sky yang dimiliki sepenuhnya oleh 1MDB – di mana wangnya disimpan buat masa ini di BSI Singapore, cawangan bank persendirian Swiss.

Akhbar perniagaan tersebut memetik sumber, mengatakan dokumen cagaran bagi pinjaman tersebut kini dianggap “tidak lengkap”, kerana salah satu perjanjiannya tidak dipenuhi.

Ini bermaksud peminjam boleh menuntut bayaran semula daripada 1MDB pada bila-bila masa sebelum tarikh akhirnya hujung bulan Ogos.

"Apa yang sebelum ini dilihat sebagai pinjaman berkolateral ketat kini mencemaskan pihak bank, memandangkan kontroversi yang timbul ini," kata sumber dalam laporan akhbar tersebut.

Bagaimanapun, pada 22 April, Sarawak Report mengatakan akaun 1MDB di BSI Bank hanya mengandungi “aset kertas” dan nilai sebenarnya tidak dapat dikenal pasti.

Dalam jawapan Parlimen kepada Tony Pua (DAP–Petaling Jaya Utara), Putrajaya baru-baru ini mendedahkan baki pelaburan tersebut ditebus dengan aset 1MDB dalam mata wang dolar AS.

Kritikan semakin memuncak terhadap pelaburan yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan itu yang ditubuhkan pada 2009, dan kini berhutang hingga RM42 bilion.

Pengawasan kini lebih hebat berikutan pendedahan Sarawak Report baru-baru ini, menambah tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengakibatkan ahli politik pembangkang, pemimpin Umno dahulu dan kini, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan badan anti-rasuah, menuntut penyiasatan menyeluruh terhadap dana tersebut.

Ketua Audit Negara kini sedang meneliti rekod 1MDB, dengan laporan awal yang dijangka akan dihantar ke Parlimen menjelang Jun, sementara Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) memulakan siasatannya sendiri terhadap syarikat tersebut dua minggu lalu lapor The Malaysian Insider




from Anak Sungai Derhaka http://ift.tt/1Fo5bvK

Post a Comment

This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself

Powered by Blogger.