Insiden petugas media dihalau keluar ketika membuat liputan Konvensyen Umno Pahang, baru baru ini seharusnya tidak berlaku.
Penulis difahamkam, petugas media di Pahang ke lokasi kerana membuat liputan ke atas Naib Presiden Umno, Hishamuddin Hussein yang juga Menteri Pertahanan.
Sudah tentu kehadiran beliau dinanti-nantikan petugas media yang dahagakan maklumat terbaharu mengenai isu pertahanan negara.
Komen Hishamuddin mengenai gerak kerja Umno dan Barisan Nasional di peringkat Malaysia juga amat diperlukan supaya rakyat boleh mendapat gambaran lebih jelas mengenai parti terbesar negara itu.
Dikatakan, petugas media dijemput masuk oleh pegawai media Hishamuddin ke konvensyen itu, namun dihalau sendiri oleh Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob semasa beliau berucap.
Pelbagai kata kurang enak disembur terhadap petugas media yang ada di lokasi dan yang paling kasihan adalah wartawan daripada organisasi media pro-Umno dan Barisan Nasional.
Terasa sia-sianya dan terhinanya mereka apabila sering melaporkan pelbagai berita positif mengenai kehebatan Adnan, tetapi dibalas pula dengan layanan buruk.
Beberapa rakan wartawan ada menghubungi penulis menerusi aplikasi WhatsApp bagi menceritakan perihal berkenaan.
Kata rakan wartawan, jika Adnan tidak mahu akan kehadiran mereka, boleh sahaja diminta untuk beredar dari konvensyen Umno itu dengan cara yang lebih beradab dan baik.
Wartawan, jurugambar dan jurukamera tentu faham kerana rata-ratanya sudah lama berkecimpung dengan dunia kewartawanan dan faham benar akan ‘lenggok’ Adnan.
Rakan-rakan wartawan di negeri yang menjadi kampung Perdana Menteri memberitahu, selepas dihalau Adnan, terdapat seorang pengikut Menteri Besar Pahang itu menghina profesion kewartawanan dan wartawan yang dihalau itu menerusi media sosial pula.
‘Screen shot’ dihantar kepada penulis dan ia memang jelas menunjukkan perikalu pengikut Adnan menghina, mengaibkan wartawan dengan cara yang cukup angkuh dan bongkak.
Tak salah kalau penulis samakan sikapnya dengan iblis. Seingat penulis, tingkah laku Adnan yang kasar, tegas tidak bertempat dan sering membuatkan wartawan berkecil hati bukan perkara baru.
Jika wartawan itu bertugas dalam organisasi yang tidak pro-Umno mungkin tidak mengapa, boleh saja wartawan itu mengkritik menerusi artikel terbitannya.
Namun bagaimana jika wartawan itu bertugas dalam organisasi pro-Umno? Maka terpaksa sahaja sikap jelik Adnan ditelan dan dihadam.
Walaupun dihina dan diperlakukan dengan kata nista, wartawan yang mewakili organisasi pro-Umno perlu kekal memaparkan sisi baik, sopan dan mulia Menteri Besar Pahang itu.
“Apa boleh buat? Kita bekerja makan gaji dan agaknya itulah tujuan gaji itu dibayar. Dihina dan dinista dan kemudian menulis benda baik-baik mengenai orang menghina kita itu,” kata rakan wartawan terbabit.
Pada masa sama, gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) untuk memulaukan Adnan susulan kejadian itu juga sebenarnya sia-sia.
Wartawan bertugas atas arahan pengarang. Mana mungkin arahan pengarang media diabaikan demi cadangan NUJ itu.
Pada pandangan penulis, insiden itu menunjukkan Adnan gagal menjadi pemimpin contoh dan sudah mencabul Rukun Negara.
Rukun Negara yang kelima menyatakan pentingnya kesopanan dan kesusilaan sebagai rakyat Malaysia.
Sopan dan bersusilakah seorang pemimpin itu apabila memperlakukan saudara senegaranya sedemikian rupa sedangkan mereka hanya menjalankan amanah dan ibadah.
Semoga Adnan dan pengikutnya diberikan kesedaran dan keinsafan.
Penulis dan rakan wartawan tidak mampu berbuat apa-apa melainkan teguran menerusi nukilan ini selain mendoakan beliau dan konco-konconya ~ TheMalaysianMirror
from Anak Sungai Derhaka http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2016/11/wartawan-luah-rasa-terkilan-sikap.html
Post a Comment
This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself