Halloween party ideas 2015

Asalamualaikum wbt,



Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ayahnda Tun kerana sudi untuk memberikan padangan, kritikan dan teguran kepada pemerintahan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.



Ybhg Tun,



Walaubagaimanapun, saya kurang bersetuju apabila Ayahnda Tun meletakkan kesalahan kepada DS Najib atas keputusan buruk pada pilihanraya umum ke 13 yang lalu. Bagi saya, tidak adil jika menyalahkan DS Najib semata-mata. Beliau mewarisi kepimpinan negara dan parti ketika pembangkang cukup kuat.



Pada zaman Tun, pembangkang cumalah serpihan kecil di Parlimen berbanding dengan sekarang ini. Mereka mempunyai berpuluh kerusi dan BN tidak lagi memiliki 2/3 majoriti. Ketika zaman Tun juga, pembangkang cuma memiliki 2 buah negeri, yakni Terengganu dan Kelantan berbanding sebelum PRU13, mereka menguasai 4 buah negeri dan dua daripanya adalah antara negeri terkaya di Malaysia.



Saya sendiri sebagai seorang pemerhati politik (yang pernah juga bersama pembangkang) tidak meletakkan harapan yang tinggi ketika PRU lepas, pada perkiraan saya keputusan mungkin lebih buruk. Alhamudlillah, mungkin kerana DS Najib kita mampu untuk terus bertahan sebagai kerajaan.



Sewaktu pemerintahan Ayahnda Tun, kerajaan dan parti mempunyai kekuatan media yang cukup hebat. Segala media arus perdana boleh digunakan bagi tujuan penerangan program-program kerajaan dan menahan tohmahan pihak pembangkang. Tetapi pada hari ini, media arus perdana bukanlah lagi medium utama untuk rakyat mencari maklumat. Mereka lebih bergantung kepada media-media sosial dan internet yang mana kerajaan tidak mempunyai kuasa atau peruntukan undang-undang untuk mengawal/menapis sebaran di media sosial yang lebih meluas dan laju.






Tun seharusnya lebih arif bahawa kebencian yang menular di kalangan rakyat pada kerajaan Barisan Nasional pada hari ini bukanlah disebabkan oleh dasar-dasar kerajaan. Tetapi kerana fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan dan pemimpin. Lumrah manusia, menyebarkan fitnah adalah lebih seronok dan mudah dari menyebarkan kebenaran. Begitu juga mempercayainya.



Maka fitnah ini dibantu dengan medium penyebaran yang lebih cepat dan berkesan seperti media sosial. Untuk pengetahuan Tun, mereka juga telah berjaya mempengaruhi majoriti rakyat untuk mengatakan bahawa segala beban pada Malaysia hari ini adalah kerana dasar-dasar yang Tun laksanakan. (Boleh semak ratusan komen di Msian Insider mengenai kritikan Tun terhadap DS Najib)



Ybhg Tun,



Saya juga antara orang yang tidak bersetuju ketika kerajaan memansuhkan ISA dan Akta Buang Daerah, terutama apabila kes jenayah meningkat begitu tinggi. Tetapi pada hari ini saya juga terkejut apabila Tun masih membangkitkan isu ini, bukankah kita telah menemui jalan penyelesaian dengan adanya akta baru dan operasi-operasi anti jenayah secara besar-besaran seperti Ops Cantas 1 & 2? Yang mana kita dapat melihat solusi ini cukup berkesan. Malah kita telah membuktikan pada dunia bahawa kita mampu hapuskan undang-undang ‘drakonian’ ini tetapi pada masa yang sama mengekalkan keamanan dan kestabilan negara. Bukankah ini satu kejayaan yang patut dibanggakan?



Saya tidak merasakan DS Najib tunduk dengan permintaan pihak lawan, tetapi ianya lebih merupakan satu pendekatan baru untuk rakyat.



Tun juga menyentuh soal gaji minima. Oleh kerana saya mempunyai sebuah kilang maka saya adalah antara orang yang terkesan dengan dasar kerajaan menaikkan gaji minima (RM900) ini. Tetapi saya rasa ianya satu dasar baru yang adil memandangkan ini bukanlah lagi tahun 90’an, nasi lemak cuma 30 sen. Saya sebagai seorang pemilik kilang sendiri kasihan dengan operator-operator kilang tempatan yang membuat kerja berat tetapi dibayar gaji yang rendah. Saya dengan hati terbuka mengikut saranan kerajaan untuk memberikan gaji minima kepada mereka.



Apa yang saya lihat sebelum ini, tauke-tauke kilang yang membuat untung ratusan ribu malahan jutaan ringgit setahun masih lagi memerah keringat anak-anak tempatan siang dan malam dengan gaji yang tidak sepadan. Maka, wajarlah kerajaan membela golongan majoriti pekerja ini daripada memelihara tauke-tauke yang sudah senang lenang dengan untung.



Ayahnda Tun,



Saya merasakan kita lebih beruntung apabila cara DS Najib melayan negara-negara jiran dengan lebih lembut dan santun. Kita ambil iktibar sewaktu Sabah di serang, oleh kerana hubungan baik dan santun kita dengan kerajaan Filipina, maka mereka telah bertindak untuk membantu kita dan bukannya menambahkan lagi masalah atau melakukan sabotaj. Mungkin kita nampak lemah, tapi saya percaya atas kesantunan yang tinggi ini pada satu hari ianya memberikan pulangan lebih besar pada negara.



Mungkin keranan kesantunan dan kemesraan DS Najib dengan negara luar ini membuatkan ramai yang selesa untuk berunding dengan Malaysia. Termasuklah ketua pemberontak di Ukraine!



Saya merasakan DS Najib telah melakukan kerja yang baik dalam menguruskan negara. Cuma keadaan tidak memihak kepada beliau, maka tidak adil untuk kita menyalahkan DS Najib. Mungkin jika pemimpin lain, BN dan kerajaan sudah menjadi sejarah pada PRU yang lepas.



DS Najib mampu menarik golongan anak muda Melayu untuk kembali bersama kerajaan, DS Najib juga dilihat telah dapat menghapuskan monopoli 2-3 kerat tauke-tauke besar yang membolot kekayaan negara. Jika dahulu Anwar menggunakan modal bahawa 2-3 tauke ini merupakan kroni kerajaan, kita perhatikan hari ini beliau tidak lagi mengulangi tuduhan yang sama dalam ceramahnya. Nampaknya, kerajaan hari ini tidak lagi terpalit dengan tuduhan dikuasai oleh tauke-tauke ini. Alhamdulillah.



Ayahnda Tun,



Kami rakyat Malaysia sangat sayangkan pemimpin kami termasuklah Ayahnda Tun, Tun Abdullah dan Dato Seri Najib. Harapan kami adalah pemimpin-pemimpin terbilang seperti Tun dapat memberikan kerjasama yang baik pada kerajaan. Mungkin ada pendapat Tun yang tidak diambil kira, tetapi saya rasa Tun sendiri faham bahawa untuk menyelesaikan sesuatu perkara terdapat banyak jalan. Sepertimana nak masuk dalam rumah, kita boleh masuk ikut pintu depan, pintu tepi atau pintu belakang. Mungkin secara kebiasaanya kita masuk pintu depan tetapi jika ada bayi yang tidur di ruang depan, maka wajarlah kita masuk melalui pintu lain untuk mengelakkan bayi itu terjaga. Tun mempunyai padangan, DS Najib juga begitu. Kami percaya walaupun caranya berbeza, jangkamasanya berlainan, tetapi objektifnya tetap sama.



Sekian, Mohd Anis Hisham, Bekas EXCO pemuda UMNO Malaysia.



sumber

Friends of BN - Barisan Nasional





from KeZooM http://kezoom.blogspot.com/2014/08/surat-terbuka-kepada-tun-dr-mahathir.html

via Kezoom

Post a Comment

This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself

Powered by Blogger.