Menyifatkan 'himpunan baju merah' pada 16 September ini tidak memberi sebarang faedah kepada masyarakat, khususnya kaum Melayu, pemimpin akar umbi Umno rata-rata mempersoalkan matlamat sebenar himpunan yang menggunakan nama Melayu itu.
Ahli Umno Kedah dan aktivis, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar berkata, perhimpunan tersebut adalah sia-sia kerana tidak akan dapat mengubah nasib kaum Melayu dalam negara.
"Adakah selepas 16 September. Orang Melayu akan bertukar jadi pemain dan pemegang utama ekonomi negara?
"Adakah kaum Cina akan tunduk dan takut serta akan turut apa juga kemahuan Melayu? Tiada apa yang berubah kerana penoreh getah akan pulang menoreh pada 17 September dan seterusnya. Apa faedahnya?" soal Zaienal yang juga Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia kepada penganjur himpunan yang menyasarkan Padang Merbok.
Bagi Ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub pula, perhimpunan yang menggunakan nama Melayu itu hanya memberikan imej buruk kepada kaum itu.
"Memang berhimpun hak rakyat Malaysia seperti mana Bersih 4, tetapi isunya di sini himpunan tersebut kononnya untuk mempertahankan maruah dan ketuanan Melayu. Kalau ikutkan situasi kini, Melayu Umnolah yang menjahanamkan bangsa sendiri," katanya kepada The Malaysian Insider.
Faizal turut menyifatkan Datuk Jamal Md Yunos sebagai dalang penganjur hanya mengambil kesempatan di atas keadaan Malaysia semasa krisis.
"Jamal itu sebenarnya hanya menangguk di air keruh saja. Dia cuba hendak eksploitasi situasi sekarang untuk naikkan imej dia yang dah buruk sehinggakan bahagian dia sendiri (Sungai Besar) suruh dia berundur," katanya merujuk kepada ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu.
Sementara itu, Ahli Umno Batu Pahat Ramlee Wahab menyifatkan perhimpunan tersebut hanya membuang masa kerana tidak bermotif jelas.
"Kami tidak akan turun rasanya kerana motif tidak jelas. Kalau sekadar hendak tunjuk lawan pada Bersih, terhadap baju kuning itu buang masa.
"Kita berkumpul beri sokongan perlu ada matlamat jelas untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan dan bukannya politik murahan. Kita ada maruah dan kita ada arah.”
Beliau juga melahirkan kebimbangan sekiranya perhimpunan tersebut diteruskan pada 16 September ini.
"Berkumpul ada tujuan (baik) bukan berkumpul nak pamer kekuatan, saya khuatir timbul keburukan apabila ada campur tangan pihak ketiga nak melaga-laga... itu bahaya," katanya kepada The Malaysian Insider.
Sementara bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh membidas tindakan Jamal kerana hanya mencari publisiti untuk dirinya.
"Datuk Jamal ingin mencari publisiti dan nak nampak hebat di kalangan ahli Umno. Kita marah dan mengutuk pada perhimpunan Bersih anjuran pembangkang dan kaum lain tetapi sebaliknya kita pulak terikut-ikut rentak mereka dengan berhimpun..untuk apa?”
Sebelum ini Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Jamal berkata pihaknya akan meneruskan acaranya pada 16 September ini meskipun sekiranya ia diisytiharkan haram oleh polis.
Ini kerana perhimpunan itu jelas matlamatnya untuk membangkitkan semangat Melayu dan akan dijalankan secara aman, tanpa niat untuk membuat sebarang rusuhan atau kekecohan.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menafikan Umno menjadi penaja himpunan itu.
Bagaimanapun perdana menteri berkata, tidak akan menyekat ahli Umno daripada menyertai program itu tersebut selagi ianya diadakan secara aman.
from Anak Sungai Derhaka http://ift.tt/1K4ZveD
Post a Comment
This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself