Halloween party ideas 2015

Berikut ini adalah berita malaysia dan informasi terbaru hari ini untuk pemerintah diraja malaysia, selamat membaca, dan jangan lupa berikan komentar dan berikan pendapat anda tentang apa yang anda baca hari ini. selamat beraktifitas

Laporan penuh yang dinanti-nantikan daripada ketua audit negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan tetapi itu mungkin bukan aspek paling penting dalam siasatan ke atas syarikat sarat hutang itu.

Ahli politik dan aktivis anti rasuah yang sudah lama mengikuti isu itu berkata laporan itu hanya sekadar mengikut skop diberikan kepada ketua audit kerana ini akan menentukan sama ada beliau boleh mendedahkan betapa teruknya skandal itu.

Satu lagi yang penting ialah adakah laporan itu akan didedahkan kepada umum, kata Cynthia Gabriel dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Ini akan membuktikan sejauh mana kejujuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila beliau berkata tindakan akan diambil jika sememangnya ada salah laku dalam syarikat pelaburan negara itu.

"Saya bimbang jika kita tidak berhati-hati, Laporan Ketua Audit Negara boleh menjadi pelindung kepada isu 1MDB dan akan digunakan kerajaan untuk berselindung di sebaliknya," kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

"Ini kerana bidang tugas yang diberikan kepada Jabatan Audit Negara yang saya khuatir adalah terhad dan tidak terperinci seperti sepatutnya," kata Rafizi, pengkritik utama 1MDB.

Laporan Bernama semalam memetik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin sebagai mengesahkan laporan ketua audit negara ditangguhkan. Ia sepatutnya dibentangkan kepada PAC hari ini.

Kesangsian umum

Siasatan 1MDB oleh agensi lain menimbulkan syak wasangka kerana penglibatan Najib dalam syarikat itu sebagai ketua lembaga penasihatnya.

Putrajaya membubarkan satu pasukan petugas khas pelbagai agensi yang terdiri daripada polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Ogos lepas.

Pengkritik mendakwa pentadbiran Najib campur tangan dalam siasatan 1MDB walaupun kerajaan berkata agensi itu boleh terus menjalankan siasatan mereka sendiri.

Polis berkata, mereka hanya akan menyelesaikan siasatan mereka ke atas 1MDB selepas laporan audit negara lengkap.

Laporan ketua audit itu ditunggu-tunggu kerana kedua-dua kerajaan dan pembangkang menghormati jabatan itu dan kredibilitinya.

Laporan itu kunci kepada apa yang berlaku dalam 1MDB dan pengkritik berharap ia akan menerangkan bagaimana syarikat itu mengumpul hutang RM42 bilion walaupun baru 6 tahun beroperasi, kata Gabriel.

"Pelbagai tuduhan dibuat mengenai 1MDB dan di peringkat antarabangsa, terdapat siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram. Inilah sebabnya mengapa Laporan Ketua Audit Negara perlu didedahkan kepada umum."

Kelewatan laporan itu, katanya, perlu juga diperjelaskan kerana ia bermakna kebenaran tentang apa yang berlaku akan makin jauh daripada pengetahuan umum.

Terma rujukan

Tetapi berapa banyak fakta akan dinyatakan dalam laporan itu akan bergantung kepada terma rujukan atau skop yang perlu dipatuhi jabatan itu, kata Rafizi.

Malangnya, terma rujukannya tidak pernah didedahkan kepada umum, kata bekas juruaudit itu, sekali gus mencetuskan persoalan sejauh mana skandal itu akan didedahkan.

Yang terbaik, katanya, jika ketua audit dapat melakukan audit forensik yang akan mendedahkan jejak wang syarikat itu, seperti siapa yang memberi kebenaran, ke akaun mana wang itu disalurkan dan adakah ia dibelanjakan mengikut prosedur.

Audit sedemikian akan menjawab beberapa soalan termasuk mengenai peranan ahli perniagaan kontroversi Low Teck Jho dan sama ada wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang masuk ke dalam akaun Najib itu sebenarnya daripada 1MDB atau penderma Timur Tengah.

"Kita harus ingat dakwaan AS$700 juta itu kali pertama dibuat bersumberkan maklumat yang bocor daripada pasukan petugas 1MDB," kata Rafizi.

Pada 2 Julai, The Wall Street Journal melaporkan penyiasat Malaysia menemui bukti AS$700 juta disalurkan dari bank dan syarikat berkaitan dengan 1MDB ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib menafikannya dan pada 3 Ogos, SPRM menyatakan wang berkenaan daripada penderma Timur Tengah yang tidak dikenal pasti, bukan syarikat berkaitan 1MDB.

Rafizi bimbang Jabatan Audit Negara tidak akan diberi mandat melaksanakan audit forensik yang boleh menjelaskan kes ini.

"Saya yakin jika anda memberikan mereka mandat penuh, mereka akan menyelongkar isu ini hingga ke lubang cacing.

"Tetapi orang ramai tidak boleh terlalu menaruh harapan terhadap laporan itu dan menyalahkan ketua audit jika beliau tidak menyelongkar isu ini sedalam-dalamnya kerana beliau tidak diberi terma rujukan untuk berbuat demikian." lapor The Malaysian Insider




from Anak Sungai Derhaka http://ift.tt/1k477VL

Post a Comment

This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself

Powered by Blogger.