Selepas tular foto Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Kawasan Lipis, Ustaz Mohd Mahyuddin Ghazali berpeluk dengan Datuk Seri Najib Razak dalam Mesyuarat Agung Umno Bahagian itu, pimpinan Pusat parti tersebut tampil menerangkan situasi sebenar.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan memberitahu Mahyuddin hadir atas kedudukannya sebagai Pengetua Maahad Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah di Kampung Tempoyang untuk menerima wang zakat daripada Perdana Menteri.
Menurutnya, lima wakil maahad tahfiz lain di Parlimen tersebut turut menerima sumbangan itu yang disampaikan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis.
"Beliau (Mahyuddin) tidak tahu pun mengenai Mesyuarat Agung Umno Bahagian dan tidak bertujuan menghadhiri (menghadiri) Majlis Mesyuarat Agung Umno Bahagian tersebut.
"Sebarang tindakan mengeksploitasi atau manipulasi keadaan adalah suatu yang sangat dikesali," tegasnya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau pukul 10.47 malam tadi.
Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu turut melampirkan surat jemputan ke majlis penyampaian tersebut yang ditandatangani Datuk Abdul Rahman Mohamad.
Surat jemputan berkenaan jelas tertera di bahagian bawahnya alamat Wisma Umno Tingkat 2, Jalan Bukit Blus, 27200 Kuala Lipis bersekali dengan nombor telefon dan nombor faks.
Ekoran itu, penjelasan Nasrudin kemudiannya hanya mengundang kecaman dan sindirian pengguna media sosial termasuk mendakwa pemimpin Pas itu 'lebai penipu' apabila mendakwa Mahyuddin tidak tahu tentang Mesyuarat Agung Umno Bahagian Lipis itu.
Hal tersebut dikukuhkan lagi apabila Najib di laman Twitter dan Facebook beliau memuat naik gambar berpelukan dengan Mahyuddin di dalam dewan berlangsungnya mesyuarat tersebut.
Mahyuddin berkopiah dan berpakaian serba putih yang dianggap Najib berjawatan Pesuruhjaya Pas Kuala Lipis jelas kelihatan hadir di mesyuarat Umno itu dengan wajah ceria, berjabat tangan dan berpelukan dengan Presiden Umno itu.
"Gembira dapat berjumpa dengan Pesuruhjaya Pas Kuala Lipis Mahyuddin Ghazali ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis tadi," dipetik daripada Twitter Najib semalam.
Walaupun Nasrudin mendakwa lima wakil maahad tahfiz turut menerima sumbangan tersebut tetapi gambar mereka terbabit tidak tular seperti Mahyuddin.
Banyak pihak menganggap kehadiran pemimpin tempatan Pas berkenaan sebagai percubaan Umno untuk menarik ahli Pas supaya meninggalkan parti dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Tidak kurang juga menyifatkan insiden terserbut sebagai rentetan siri kerjasama antara Pas dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Tidak pernah berlaku sebelum ini terutama ketika Pas pada era Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, kehadiran Mahyuddin dalam mesyuarat Umno Bahagian itu susulan daripada penyertaan Abdul Hadi sendiri sejak beberapa tahun lalu dalam beberapa program yang turut dihadiri Najib Razak ~ MalaysiaDateline
from Anak Sungai Derhaka http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2017/07/tidak-tahu-majlis-umno-walaupun-terima.html
Post a Comment
This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself