Halloween party ideas 2015

Berikut ini adalah berita malaysia dan informasi terbaru hari ini untuk pemerintah diraja malaysia, selamat membaca, dan jangan lupa berikan komentar dan berikan pendapat anda tentang apa yang anda baca hari ini. selamat beraktifitas

PERBICARAAN kes SRC International membabitkan Najib Razak masuk hari ke-20 hari ini, dengan saksi ke-38, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Azian Mohd Noh menyambung keterangan.

Azian memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa Azlin Alias, pegawai khas yang mengetuai pasukan dasar ekonomi Najib, secara peribadi menyerahkan kepadanya surat permohonan bertarikh 3 Jun, 2011 untuk pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP. 

Katanya, beliau diminta oleh pejabat Azlin untuk bertemu di lobi sebuah hotel yang tidak dikenal pasti di KL Sentral, Kuala Lumpur selepas waktu pejabat.

Azlin meninggal dunia pada 2015 dalam satu nahas helikopter yang turut mengorbankan bekas menteri Jamaluddin Jarjis, yang rapat dengan Najib.

Perincian Azian terhadap surat itu menyokong keterangan sebelum ini berkenaan surat permohonan pinjaman sebanyak tiga halaman yang mempunyai nota tulisan tangan Najib: “Bersetuju dengan cadangan ini”. Nota itu bertarikh 5 Jun.

Azian turut menyokong keterangan terdahulu bagaimana KWAP enggan meluluskan pinjaman itu kerana jumlahnya yang besar dan kekurangan kepakaran SRC International dalam industri sumber alam semula jadi.

Azian yang juga CEO KWAP dari 2007 hingga bersara pada 2013, berkata beliau juga bertemu Najib berkenaan pinjaman itu. Beliau menemani pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah ke pejabat bekas perdana menteri itu, tetapi berkata tidak ingat bila mesyuarat itu diadakan.

Mesyuarat itu bagi menyuarakan kebimbangan panel pelaburan KWAP berkenaan jumlah pinjaman dan syor mereka jumlah itu dikurangkan kepada RM1 bilion.

Azian kemudian memberitahu mesyuarat panel pelaburan pada 19 Julai, 2011, bahawa Najib memberitahu pengerusi KWAP untuk mempercepatkan proses meluluskan pinjaman itu dan RM2 bilion sudah mencukupi.

Bagaimanapun, Azian tidak ingat bila permohonan untuk RM2 bilion itu dibuat, beliau hanya diberitahu oleh pengerusi untuk mempercepatkan kelulusannya.

Jumlah RM2 bilion itu diluluskan pada 26 Ogos, 2011 dan baucar bayarannya dibuat pada 29 Ogos, 2011 dalam empat kali ke SRC International, iaitu RM500 juta setiap satu.

Azian berkata pada 13 Mac, 2012 KWAP menerima satu lagi surat daripada SRC International, ditandatangani oleh CEO Nik Faisal Ariff Kamil, memohon pinjaman RM2 bilion lagi.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Beliau berdepan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Bekas presiden Umno itu diwakili sepasukan peguam diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwa raya, sementara Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengendalikan kes itu. – 29 Mei, 2019.

The Malaysian Insight membawakan prosiding hari ini secara langsung:

11.25am: Mahkamah berhenti rehat selama 10 minit.

11.23am: Azian mengatakan ia pastinya ideal jika KWAP menerima jaminan daripada kerajaan sebelum pinjaman itu dikeluarkan.

11.12am: Beliau berkata terdapat sifar risiko kepada KWAP kerana pinjaman itu disokong oleh kerajaan.

11.09am: Azian menegaskan surat yang meminta pinjaman datang daripada pihak yang bereputasi baik iaitu Kementerian Kewangan.

10.51am: Ishak meminta hakim menasihatkan saksi supaya benar-benar pasti apabila menjawab. Mereka memberitahunya untuk menjawab jelas dengan berkata “ya”, “tidak” atau “saya tidak tahu”.

10.42am: Azian kini mengesahkan terma pinjaman yang ditetapkan dalam kertas pelaburan.

10.28am: Saksi kini disoal oleh peguam bela Yusof Zainal Abiden.

10.21am: Hakim Nazlan bertanya saksi mengapa ada perbezaan dalam kenyataannya, di mana beliau pada mulanya mengatakan panel hanya mengambil keputusan untuk mempertimbangkan jumlah pinjaman RM1 bilion, tetapi bertukar kepada fakta bahawa RM2 bilion dibawa untuk dipertimbangan oleh panel pelaburan.

Nazlan: Kenapa ada perubahan di situ? Nampaknya terdapat lompang dalam kenyataan anda.

Azian: Saya tidak ingat urutan kejadian. Yang saya tahu ialah pengerusi membawa RM2 bilion untuk dibentangkan oleh panel pelaburan.

Ishak menamatkan sesi menyoal.

10.13am: Azian diperlihatkan gambar Pengarah SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan diminta mengenal pastinya.

Ishak bertanya Azian jika ia amalan biasa memberi pinjaman terlebih dahulu sebelum mendapat sebarang dokumen sokongan, seperti surat jaminan.

Ishak: Sepanjang tempoh anda sebagai CEO KWAP, adakah anda bagi normal memberikan jumlah pinjaman terlebih dahulu sebelum mendapat surat jaminan?

Azian: Ia tidak pernah berlaku kecuali bagi senario ini.

10.08am: Azian memulakannya dengan perjanjian dan ketetapan yang dibuat antara SRC International dan KWAP mengenai penggunaan tambahan pinjaman RM2 bilion.

Beliau mengatakan jika wang itu digunakan untuk tujuan selain apa yang ditetapkan dalam perjanjian mereka, ia akan dianggap sebagai ingkar.

Jika KWAP melihat sebarang penyalahgunaan, ia boleh menamatkan perjanjian dan meminta wang itu, bersama-sama dengan bunga, dipulangkan.

Beliau berkata sepanjang tempoh beliau di KWAP, RM4 bilion yang dipinjamkan kepada SRC International adalah jumlah pinjaman terbesar pernah diluluskan oleh KWAP.

10.03am: Shafee menamatkan soal balas terhadap Shamsul.

Bekas CEO KWAP dan saksi ke-38 perbicaraan Azian Mohd Noh mengambil tempat di kandang saksi untuk meneruskan soal balasnya dengan pihak pendakwa terhadap pinjaman KWAP bernilai RM4 bilion yang diluluskan untuk SRC International.

9.53am: Shamsul berkata selepas disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2015, beliau berjumpa Najib dan memberitahunya dana SRC masuk ke akaun peribadinya.

Shamsul, yang mengatakan rapat dengan Najib, memberitahu mahkamah bahawa Najib terkejut dengan berita itu.

Shafee bertanya beliau sama ada Najib meminta membuat laporan polis mengenai perkara ini.

Shafee: Adakah beliau memberitahu anda agar membuat laporan polis, untuk memberitahu SPRM?

Shamsul: Tidak.

Shamsul kemudian berkata beliau “tidak bersalah” apabila ditanya sama ada ada terdapat sebarang ketidakjujuran di pihak Ihsan Perdana.

9.49am: Shafee meneruskan soal balas terhadap saksi ke-37, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman.

9.07am: Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. – 29 Mei, 2019

from Anak Sungai Derhaka https://darisungaiderhaka.blogspot.com/2019/05/pinjaman-rm4-bilion-kepada-src.html

Post a Comment

This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself

Powered by Blogger.