Berikut ini adalah berita malaysia dan informasi terbaru hari ini untuk pemerintah diraja malaysia, selamat membaca, dan jangan lupa berikan komentar dan berikan pendapat anda tentang apa yang anda baca hari ini. selamat beraktifitas
Dua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan penilaian pakar startegi PPBM Rais Hussein bahawa gabungan kerajaan itu akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan sekarang dengan berkata, ini kerana PH gagal menunaikan janjinya dan melaksanakan pembaharuan asasi.
Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago berkata, keyakinan orang awam kepada kerajaan merudum walaupun PH berjanji untuk mewujudkan sebuah “Malaysia baru”.
“Kita bercakap tentang pilihan raya 2023 walaupun kita belum menunaikan manifesto kita sebelum ini sepenuhnya,” katanya dengan merujuk kepada beberapa bolak-balik berkait dasar dan apa yang disifatkannya sebagai “peralihan PM yang tersangkut dalam lumpur”.
Beliau juga berkata, kelihatan kurangnya fokus untuk merancakkan ekonomi, terutama dari sudut membantu usahawan kecil dan sederhana.
“Rakyat umumnya berasa kita tidak menunaikan janji, selain terjebak dalam isu sampingan seperti kontroversi Dr Zakir Naik dan khat.
“Isu sampingan ini memintas agenda nasional kerana isu yang sepatutnya diutamakan tidak ditangani,” katanya.
Dalam satu forum semalam, Rais berkata, Umno dan PAS akan “menang mudah” jika pilihan raya diadakan sekarang.
Katanya, pemimpin PH tidak lagi mendengar suara rakyat dan gabungan politik itu perlu memandang serius manifestonya bagi mendapat kepercayaan umum.
Santiago berkata, isu mendesak yang perlu ditangani termasuklah isu kehidupan harian seperti gaji, pengangguran dan kos hidup.
Beliau mengingatkan bahawa kelas menengah kini “letih” dengan PH dan mendesak pemimpin kerajaan berubah sikap sementara mereka masih berkesempatan berbuat demikian.
Mengambil maklum bahawa lebih ramai pengundi muda dijangka mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang, Santiago berkata, “mereka (pengundi muda) akan mengundi pihak yang melindungi kepentingan mereka.”
Bagaimanapun katanya, sebahagian besar undi tersebut akan diraih “pihak ke-3” di luar PAS dan Umno, jika pihak itu muncul menjelang pilihan raya akan datang.
Ahli Parlimen PKR Subang, Wong Chen juga berkata, PH berdepan risiko hilang kuasa, tetapi tidak bersetuju bahawa PAS dan Umno akan menang mudah.
Katanya, 2 parti pembangkang itu berkemungkinan merampas beberapa kerusi daripada PH, tetapi mempersoalkan kemampuan mereka untuk bekerjasama sebagai satu kekuatan tunggal.
“Pilihan raya sekarang lebih berkemungkinan menghasilkan Parlimen tergantung tanpa pemenang, tetapi akan menyaksikan ‘jual-beli’ politik yang panas untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.
Wong Chen juga bercakap tentang kegagalan PH melaksanakan “pembaharuan yang sistematik dan asasi” dan apa yang disifatkannya sebagai “masalah yang dibuat sendiri”.
Beliau berkata, usaha untuk memecahkan pemusatan kuasa perdana menteri, memulihkan kebebasan Parlimen dan menyediakan lebih banyak semak dan imbang akan membantu Malaysia beralih kepada sebuah sistem lebih demokratik.
“Sistem yang lebih demokratik akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan inovasi, dan berikutan itu memastikan PH mendapat penggal ke-2.”
Wong Chin Huat dari Institut Jeffrey Cheah mengenai Asia Tenggara bersetuju bahawa PH mungkin hilang kuasa, tetapi adalah disebabkan penurunan peratus keluar mengundi, bukan kerana peralihan sokongan pengundi kepada pembangkang.
Beliau berkata, sekiranya PH kalah dalam pilihan raya esok, ia bukanlah disebabkan PAS dan Umno menawarkan alternatif lebih baik.
“Ramai pengundi yang kecewa dengan ahli politik daripada kedua-dua pihak,” katanya.
Wong berkata, pertambahan pengundi baru berikutan langkah mengurangkan umur pengudi daripada 21 kepada 18 berpotensi menatijahkan apa-apa juga keputusan.
Katanya, oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem “first-past-the-post”, perubahan kecil undi boleh menghasilkan perubahan kerusi yang drastik.
Jika ini berlaku kata beliau, tidak ada parti komponen PH yang akan terkecuali.
“Setakat 2 bulan lepas, DAP mungkin (boleh bertahan). Tetapi hari ini, DAP juga terdedah kepada risiko,” katanya dengan mengambil kontroversi khat dan isu berkaitan Lynas Corp sebagai contoh.
from Anak Sungai Derhaka https://darisungaiderhaka.blogspot.com/2019/08/pru15-ph-mungkin-kalah.html
Post a Comment
This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself