Halloween party ideas 2015

Berikut ini adalah berita malaysia dan informasi terbaru hari ini untuk pemerintah diraja malaysia, selamat membaca, dan jangan lupa berikan komentar dan berikan pendapat anda tentang apa yang anda baca hari ini. selamat beraktifitas

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-59 tanah air tercinta, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara buat seluruh saudara senegara.

Tarikh bersejarah 31 Ogos 1957 adalah detik penting untuk sama-sama kita syukuri dan hayati. Sesungguhnya harga kemerdekaan amat mahal tidak ternilai.

Tidak sedikit darah dan air mata perjuangan mengalir sepanjang empat abad perjuangan pembebasan tanah air ini, yang dicatat sejarah seawal abad ke-16 dengan Perang Melaka - Portugis.


Dengan semangat keinsafan yang penuh kesyukuran ini, marilah kita bermuhasabah dan pertanyakan dengan ikhlas: Sejauh manakah kita - sebagai warganegara - telah setulennya melaksanakan amanah dan tanggungjawab mengisi kemerdekaan dan pembinaan negara yang bebas lagi berdaulat?

Kemerdekaan amat berkait dengan kebebasan dan misi pembebasan.

Dalam tradisi Islam seperti yang dibahaskan para ulama dalam perbicaraan berkaitan konsep hurriyyah, kemerdekaan merupakan lawan kepada perhambaan.

Namun lebih daripada itu, rajulun hurrun (insan yang bebas menurut tafsiran ulama) bukan sekadar bermaksud bebas daripada cengkaman sebagai hamba abdi, bahkan bebas sering digandingkan dengan kalimah karim yang bermaksud kemuliaan.

Justeru al-hurr al-karim membawa konotasi bahawa seseorang itu bukan sekadar perlu merdeka daripada perhambaan, tetapi mestilah hidup mulia dengan penuh kehormatan seperti disimpulkan oleh Hashim Kamali sebagai "a true gentleman, a person who is pure in his human dignity, a person of integrity possesing a free conscience unrestrained by material considerations".

Dalam erti yang setulusnya, kemerdekaan turut berkait rapat dengan maruah dan kehormatan, baik maruah insaniah sebagai individu mahupun maruah sebuah bangsa dan negara.

Pertahankan hak agar tak dirampas

"Give me liberty, or give death!" adalah ucapan masyhur pejuang kemerdekaan Amerika Syarikat, Patrick Henry yang menggambarkan betapa orang sanggup mati bagi menghirup udara kebebasan dan demi sebuah hidup bermaruah!

Di Uruguay, slogan kemerdekaan dengan makna seerti - "Libertad o con gloria morir" - diabadikan dalam bait lagu kebangsaannya.

Dalam hubungan ini, pejuang kemerdekaan tanah tumpah darah kita sendiri membuktikan kesanggupan mempertahankan maruah negara, agama dan bangsa dengan nyawa.

Namun dalam era pascakolonial, maruah bangsa seperti yang diamati oleh Syed Hussein Alatas bukan lagi dibelenggu dan diragut penjajah asing, tetapi dek pemimpin bangsa sendiri yang bermakar siang malam untuk menipu rakyat dan merompak khazanah negara.

Walhasil, rakyat yang berjiwa merdeka, bermaruah dan patriotik ialah rakyat yang melaksanakan amanah mempertahan hak-hak miliknya agar tidak dirampas oleh sesiapa pun, apatah lagi oleh pemimpinnya sendiri.

Dalam kata lain, rakyat yang merelakan haknya dicabul, hasil mahsulnya dirompak, kebebasan hakikinya dibelenggu dan maruah negaranya diperlekeh di mata dunia sebenarnya menderita penyakit jiwa hamba dan gagal melaksanakan amanah mengisi kemerdekaan yang diwariskan generasi pendahulu.

Dalam sejarah, misi pembebasan daripada jiwa hamba dan penyerahan abadi kepada Sang Firaun menjadi misi besar Nabi Musa ke atas kaumnya Bani Israil.

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, dan Kami perintahkan kepadanya: ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap gelita kepada cahaya terang-benderang, dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah." (ayat 5: Surah Ibrahim)

Hakikatnya, Islam merupakan agama yang membawa misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan), membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia dan mencerahkan mereka daripada gelap gelita kezaliman, pada bila-bila masa dan di mana sekalipun.

Keluarkan negara dari kemelut

Pengajaran sejarah jatuh bangun tamadun dan peradaban seharusnya mendidik kita untuk mempertahankan bermati-matian maruah kemerdekaan kita.

Omong-omong berbaur ugutan bahawa perjuangan menuntut maruah dan hak kebebasan yang dijamin hanya membawa kepada silang sengketa, api permusuhan dan kucar-kacir hanya lahir dari pemikiran despotik dan politik desperado warisan penjajah.

Bahkan sebaliknya, yang membikin ribut dan mencetuskan resipi huru-hara dalam negara yang akhirnya menjurus kepada political decay ialah kegagalan urus tadbir negara, tercemarnya kedaulatan undang-undang dan tercabutnya akauntabiliti antara pemerintah dan rakyat.

Atas keinsafan inilah, Abim menyeru seluruh saudara setanah air agar berganding bahu dan bermuafakat mengeluarkan negara daripada kemelut menyesakkan nafas kemerdekaan dan udara keharmonian yang seharusnya dinikmati oleh setiap individu merentas etnik, agama dan kecenderungan.

Marilah kita bersama-sama - dengan jiwa merdeka dan semangat baru - mengangkat kembali maruah negara yang kian tercemar dan membina masa hadapan dalam bingkai kesatuan Bangsa Malaysia yang kita dambakan.

Ayuhlah generasi muda, kita menjayakan fasa baru pembinaan Bangsa Malaysia dengan pemikiran dan sikap yang lebih rasional-inklusif dan tatacara hidup berpaksikan nilai, prinsip dan etika yang bakal melambangkan realiti sebenar keluhuran akal budi pencinta negara bertuah ini.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-59.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia




from Anak Sungai Derhaka http://ift.tt/2bAHbn0

Post a Comment

This blog needed you to understand the word spam - never spam on this blog, although i will not moderate all of it, but you will learn it yourself, educate yourself

Powered by Blogger.